28/02/2013

BIRU KE LANGKAWI

          Aku sedar Biru tidak selesa dengan keadaannya sekarang. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk pergi ke rumah tok saudaraku di Langkawi setelah berada di Perlis lebih kurang dua minggu. Ibu saudaraku berasa hairan dengan keputusanku itu. Kebiasaannya, aku akan tinggal lebih lama di kampung. Selalunya aku hanya akan pergi ke Langkawi setelah berada di kampung lebih kurang tiga atau empat minggu. Walau bagaimana pun, aku berjanji akan pulang ke kampung semula sebelum balik ke Kuantan. Sudah tentu, Biru amat senang dengan keputusanku.

          Biru amat leka melihat aku mengemas pakaian dan bersiap-siap untuk bertolak. Mungkin ia tertanya-tanya ke mana pula kami akan pergi. Apabila aku mula mengangkat beg pakaian, Biru sudah mula menggesel-geselkan badannya pada kakiku. Aku meletakkan semula beg pakaianku lantas mendukung Biru.Aku mengucupnya dengan penuh kasih sayang seraya berkata, " Biru nak ikut tak? Hari ni kita nak ke Langkawi." Biru seolah-olah mengerti apa yang  aku ungkapkan. Pegangannya padaku semakin erat seakan ingin segera ke sana. Bersedialah, Biru. Janganlah mabuk laut pula nanti.



       Perjalanan dari Kampung Padang Siding ke Kuala Perlis hanya mengambil masa 20 minit. Setelah menyewa tempat untuk menyimpan keretaku, aku terus menemui bapa saudaraku yang kebetulan bekerja sebagai agen   menjual tiket di sana. Segala urusan berjalan dengan lancar. Seperti biasa, Biru tetap tenang meskipun ramai orang yang berada di jeti tersebut. Ada juga kanak-kanak yang menunding jari sambil memberitahu ibu mereka aku mendukung seekor kucing. Setelah ketibaan bot untuk ke Langkawi, aku melangkah dengan berhati-hati kerana masih lagi mendukung Biru. Di dalam bot, Biru terus duduk di ribaanku dengan tenang. Ada beberapa orang yang datang kepadaku dan bertanya tentang Biru. Mereka berasa hairan kerana aku tidak meletakkan Biru di dalam sangkar. Ada juga yang bertanya bagaimana sekiranya Biru membuang air di dalam bot itu. Aku hanya tersenyum.. Aku tidak salahkan mereka. Memang  mereka tidak tahu siapakah Biru..............

SABARLAH BIRU..


          Aku berdiam diri di dalam kereta agak lama. Agak rumit untuk menangani masalah ini. Ibu saudaraku yang sedar akan ketibaan kami, menjengah muka di depan pintu rumahnya. " Laa chek balik ka. Awat tak habaq kat Ayu chek nak balik," tegur ibu saudaraku dengan mesra. " Mai la masuk. Awat hampa duduk melangut kat dalam kheta tu lagi," tambah ibu saudaraku lagi. Mahu tak mahu aku pun turun daripada kereta lalu bersalam dengannya. Perbuatan aku diikuti oleh isteriku. Biru yang seolah-oleh mengerti kehadirannya tidak begitu disenangi hanya melihat kami dengan wajah yang sugul. Kasihan anak ayah.

             Aku menerangkan kepada ibu saudaraku itu bahawa Biru mengikuti kami pada kali ini. Memang aku sudah menjangkakan reaksinya. Pada mulanya ibu saudaraku agak keberatan untuk membenarkan Biru masuk ke dalam rumahnya tetapi setelah kami memberi jaminan bahawa Biru tidak akan menimbulkan masalah barulah beliau bersetuju. Alhamdulillah. Itulah ungkapan yang hadir di dalam hatiku. Persetujuan ibu saudaraku itu tentulah dengan bersyarat. Syaratnya ialah Biru hanya boleh duduk, makan dan membuang air di dalam bilik kami. Biar pun berat syarat yang dikenakan tetapi demi Biru kami sanggup untuk menempuhnya. Biru, ayah sanggup berkorban apa sahaja untukmu. Percayalah.

          Sebagaimana yang dijanjikan, Biru hidup terkurung di dalam bilik. Namun begitu, aku akan membawa Biru bersiar-siar di sekitar kampungku. Bukan main gembira lagi Biru apabila diberi peluang untuk keluar dari bilik itu. Biru akan berlari ke sana ke sini dengan gembiranya. Aku hanya melihat kelakuan Biru yang seolah-olah baru dibebaskan dari penjara. Namun begitu, aku dapat menyelami hati Biru yang berkelakuan sebegitu untuk menghilangkan rasa bersalah kami terhadapnya. Ayah faham hatimu,Biru. Oleh sebab ibu saudara dan bapa saudaraku bekerja maka kami ditinggalkan bersama dengan seorang sepupuku yang masih kecil. Aku mengambil peluang ini untuk membebaskan Biru dari bilik. Setelah keluar dari bilik, Biru akan bermain-main di ruang tamu. Apa yang aku hairankan ialah Biru seolah-olah cuba mengusik sepupuku itu yang sememangnya takut akan kucing. Perlakuan Biru itu sengaja aku biarkan. Teresak-esak sepupuku menangis setelah diusik oleh Biru. Biru seolah-olah membalas  dendam akan perbuatan ibu saudaraku itu. Hish nakal budak Biru ni...

JANGAN TINGGALKAN BIRU...


       Semakin hari Biru semakin dewasa. Namun kemanjaannya terhadap kami makin lama makin bertambah. Kasihku terhadapnya juga semakin mendalam. Teringat aku akan kenangan membawa Biru pulang ke kampungku di Perlis. Seperti dijangkakan, Biru akan menjadi tidak tenteram apabila melihat kami menyediakan kelengkapan untuk pulang ke kampung. Ia kelihatan resah dan berjalan ke sana ke mari seperti tidak tentu arah. Aku tersenyum sambil memikirkan apa yang difikirkan oleh Biru. " Mesti ayah dan ibu nak pergi ke mana-mana. Siap mengemaskan pakaian lagi. Jangan tinggalkan aku sudahlah." Mungkin itulah yang bermain di fikiran Biru.
              
           Setelah itu aku keluar dari rumah untuk menghidupkan enjin kereta. ' Sliding door ' rumahku sengaja dibiarkan terbuka. Sebaik sahaja pintu kereta dibuka, Biru terus melompat masuk ke dalamnya seraya duduk di tempat pemandu. Geli hati aku melihat tingkah laku Biru. Isteriku hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala tanpa bersuara sepatah pun melihat akan aksi Biru. Tidak lama kemudian isteriku mula merapati Biru seraya berkata, " Takkan ibu nak tinggalkan Biru. Birukan anak ibu." Kepala Biru diusap dengan manja. Biru menggoyang-goyangkan badannya sebagai tanda puas. 

            Setelah semua sudah bersedia, aku pun memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung. Kebiasaannya aku akan memulakan perjalanan pada awal pagi. Perjalanan ini akan mengambil masa lebih kurang 10 jam. Oleh sebab perjalanan agak jauh, Biru mudah berasa bosan. Setelah puas duduk bersamaku yang sedang memandu kereta, Biru akan pergi ke tempat duduk di bahagian belakang sambil melihat pemandangan di luar. Itulah yang akan dilakukan oleh Biru di sepanjang perjalanan sehinggalah kami tiba di tempat yang dituju. Kini timbul pula masalah baru. Di Perlis aku tinggal di rumah ibu saudaraku. Ibu saudaraku tidak menggemari kucing kerana menurutnya anaknya begitu takut akan kucing. Biru, Biru apa yang harus ayah buat untuk menjaga hatimu dan juga ibu saudaraku itu..........................
        

27/02/2013

KELEBIHANMU

       Biru tidak lagi boleh berenggang dengan kami. Jangankan hendak pergi ke mana-mana tempat yang jauh, apabila kami pergi bekerja sekali pun Biru tidak akan menjamah sedikit makanan sehinggalah kami pulang. Begitulah setia dan kasihnya Biru terhadap kami berdua. Kasihan juga aku melihat Biru yang makan seolah-olah kebuluran setiap kali aku pulang daripada bekerja.

       Namun begitu, masalah aku dengan Biru yang tidak ingin mengalah untuk tidur di atas katil belum lagi selesai. Sebagaimana yang dijanjikan, aku telah membeli sebuah katil khas untuknya. Bukan main gembira lagi Biru apabila mendapat katil baru. Aku juga gembira kerana masalah aku akan selesai. Katil itu aku letakkan bersebelahan dengan katilku. Kini Biru mula tidur di katilnya..Cuma yang menjadi masalah ialah Biru hanya tidur di katilnya pada sebelah siang..Pada waktu malam, macam biasalah aku disuruh tidur di katilnya pula..Hehehehe.Tak apalah Biru, anak ayah.....

       Kini Biru makin meningkat dewasa. Kesukaannya juga sudah berubah dan bertambah. Apa yang disukai ialah mendengar enjin kereta dihidupkan. Bukan apa, selain bersiar-siar denganku pada waktu petang dengan menunggang motosikal, Biru juga gemar menaiki kereta. pantang enjin kereta dihidupkan, Biru sudah bersedia untuk mengikutku. Jarang aku menghampakan keinginan Biru.. Dari pergi ke bandar hinggalah pulang ke kampungku di Perlis atau pulang ke kampung isteriku di Johor, Biru tidak pernah aku tinggalkan. Yang menariknya, Biru suka duduk bersamaku yang memandu kereta dan tangannya memegang stereng seolah-olah ia yang memandu kereta.


       Biru juga aku tidak pernah letakkan di dalam sangkar di sepanjang perjalananku. Apa yang aku banggakan ialah Biru tidak pernah membuang air di dalam keretaku walaupun sekali. Hebatkau Biru. Ayah bangga denganmu. Aku memang mengetahui bila Biru akan melepaskan hajatnya. Mengiau pun tidak pernah tetapi aku dapat lihat bulunya yang tegak dan ia mengeraskan badannya seolah-olah menahan kencing apabila ingin melepaskan hajat..Itulah kelebihanmu,Biru...

SIAPA YANG BERBULU NI?

      
       
       Kini Biru semakin manja dan berani. Biru juga sudah pandai cemburu. Biar pun Biru amat manja denganku akan tetapi ia tidak suka aku tidur di atas katil bersebelahan dengan isteriku. Entah berapa kali aku terpaksa tidur di luar bilik. Memang kau pandai Biru. Apabila tahu ayah ingin masuk tidur, engkau akan cepat-cepat baring di atas katil dan berpura-pura tidur. Hehehehe ayah dah tahu sebab matamu tidak pejam dengan rapat. 
          
        Apa yang menariknya aku dikuis perlahan-dengan dengan kakinya seandainya aku masih lagi cuba untuk tidur di atas katil bersama dengannya. Matamu pejam, tetapi kakimu pandai pula menguis. Tidak cukup dengan itu, engkau juga akan memanjangkan badanmu itu. Entah siapa yang mengajar begitu ayah pun tak tahu.. Mungkinkah ibumu?..Mmmm mungkin kau sudah berpakat dengan ibumu..
     
         Apakah ikhtiarku? Aku pun mula menutup pintu bilik apabila ingin masuk tidur. Kruh kruh kruh pintuku dicakar. Macam mana aku hendak melelapkan mata. " Abang, apasal tutup pintu bilik tu? Macam mana Biru nak masuk?" Hujung-hujung telinga aku mendengar ngomelan isteriku biar pun matanya terpejam. Mahu tidak mahu aku terpaksa membuka pintu untuk membenarkan Biru masuk tidur bersama dengan kami.." Padan muka ayah." Mungkin itulah yang terlintas dalam fikiran Biru.

         Ada ketikanya Biru terlelap di luar bilik mungkin kerana keletihan setelah seharian bermain. Aku mengambil peluang ini untuk  masuk ke dalam bilik secara diam-diam. " Hehehe tidurlah kat luar Biru," bisik hatiku. Aku pun tidur dengan lenanya. Entah mengapa, aku terjaga pada waktu tengah malam akibat bunyi dengkuran yang  kuat di tepi telingaku. " Lah, kau rupanya Biru. Bila pulak masuk tidur kat dalam bilik ni? Patutlah rasa berbulu jer. Takkan ibu kau berbulu macam tu. " getus hatiku. Pandai kau menyelit di tengah kami..Mmmm Biru,Biru..Nanti ayah akan carikan sebuah katil untuk Biru yer.


      
           

MEMORI BERSAMAMU

       Saat yang paling diingati ialah bagaimana setianya Biru menungguku setiap kali aku pulang daripada bekerja. Kadang kala manusia pun tidak mengenali bunyi kenderaan sendiri. Akan tetapi Biru akan menerpa menungguku setiap kali mendengar bunyi keretaku berhenti di hadapan rumah. Kadang kala aku memang suka mengusiknya. Apabila aku sampai di muka pintu rumahku, aku sudah dapat melihat kelibat Biru berjalan tidak tentu arah dan seolah-olah tidak sabar untuk bermanja denganku. Selalu juga aku melengah-lengahkan masa untuk masuk ke rumah. Tindakan aku selalunya mengundang kemarahan Biru. Habislah sofa aku dicakarnya sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah.

       Mahu tidak mahu terpaksalah aku memujuknya dengan cara mendukungnya dan mencium hidungnya. Biru, Biru, perlakuanmu tidak ubah seperti  kanak-kanak yang merajuk dengan ibu bapanya. Apabila kemarahannnya sudah hilang maka kami akan bersama-sama untuk lari merebahkan diri di atas katil. Itulah rutin harianku. Setiap kali aku pulang daripada bekerja, Biru sudah bersedia untuk berlumba denganku siapa yang terlebih dahulu baring di atas katil. " Biru, cepat, siapa yang sampai dulu ke katil." Ungkapan itu sering terngiang-ngiang di telingaku hingga ke hari ini. Perlumbaan aku dan Biru seolah-olah telah menjadi suatu memori yang tidak mungkin dapat aku lupakan.
     

       Setelah itu, aku akan membersihkan diri. Setiap kali aku mandi, Biru pasti akan menungguku di depan muka pintu. Aku sudah tahu apa yang akan dilakukan oleh Biru. Mungkin kucing tidak suka bulu mereka basah. Itulah yang dilakukan oleh Biru apabila melihat aku selesai mandi. Biru akan menjilat kakiku sehingga kering. Hiiii terasa jugaklah lidah Biru yang kesat tu apabila ia menyentuh kulit kakiku. Mungkin dalam fikirannya aku tidak pandai menjaga kebersihan kerana tidak mengelap badan sehingga bersih. Manalah tahu..........

26/02/2013

KENAKALAN BIRU



         
     Sekembali dari Johor, kehidupan kami kembali seperti biasa. Hari-hari yang dilalui bersama Biru dipenuhi dengan gerak ketawa dan kegembiraan. Tiada istilah kebosanan dalam hidupku sepanjang bersama dengan Biru. Biru begitu pandai menjaga kelakuannya dan tidak keterlaluan jika aku katakan sesiapa yang datang ke rumahku pasti akan tertarik dengan gelagat dan perlakuan Biru. Siapa yang tidak kagum akan Biru.apabila tetamu datang ke rumah, ia begitu sopan dan menjaga tingkah lakunya. Biru juga akan duduk diam di sampingku seolah-olah mendengar dan memahami apa yang dibualkan oleh kami. Sesekali, kepalanya akan mendongak dan memandang rakanku apabila rakanku itu bercakap atau menyatakan sesuatu. Pandangan Biru akan beralih pula kepadaku apabila aku pula berbicara. Biru amat bijak. Hanya ia tidak boleh berkata-kata. Namun begitu, setiap patah perkataan yang aku katakan kepadanya seolah-olah difahami dengan baik. Lidah mana yang tidak pernah tergigit. Seandainya ada perselisihan kecil antara aku dengan isteriku, Biru akan berdiam diri dan meletakkan tangannya di bawah dagu. Biru seolah-olah turut bersedih dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya, perselisihan kami tidak akan berpanjangan kerana kasihan dengan keadaan Biru.. Biru selalu menjadi penyelamat keadaan. Kami juga seakan-akan malu kepada Biru seandainya kesalahfahaman antara kami berlanjutan. Begitu hebat daya tarikan Biru.


              Tidak lama selepas itu, adikku telah melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan ini akan diadakan di rumah ibuku di Jengka 11. Sanak saudara dari Perlis telah pun berkumpul di rumah ibuku itu. Seperti biasa, aku akan membawa Biru ke mana sahaja aku pergi..Perjalanan dari Kuantan ke rumah ibuku hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit. Setibanya aku di rumah ibuku, kelihatan ramai orang dan sanak saudaraku telah berhimpun dan melakukan persediaan menjelang hari perkahwinan adikku itu. Suasana menjadi riuh - rendah dengan suara mereka. Disebabkan suasana yang terlalu bising, aku lihat Biru seolah-olah tidak begitu selesa.Tambahan pula, kanak-kanak yang datang turut bermain dan ada dalam kalangan mereka yang bergurau terlalu kasar dengannya. Kasihan Biru.. Ada kalanya aku terfikir mungkin Biru lebih cerdik dan matang berbanding dengan kanak-kanak itu. Seandainya Biru boleh bercakap, sudah tentu ia akan menasihati kanak-kanak itu agar menjaga kelakuan. Tambahan pula mereka berada di rumah orang. Biru kini lebih suka menyepikan diri.. Ia akan masih ke bilik dan berehat di atas katil.. Aku juga tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Biru...........


BIRU YANG MEMIKAT HATI

     " Kalau cikgu nak, saya boleh bagi seekor sebab anak-anak saya dari KL dah tempah dah dua ekor," kata pak cik Hussin. Alhamdulillah. Memang ungkapan itulah yang aku tunggu-tunggu dari tadi. Tanpa berfikir panjang, aku pun berjanji pada pak cik Hussin untuk pergi ke rumahnya pada petang itu. 
    
       Sebagaimana yang dijanjikan, aku pun pergi ke rumah pak cik Hussin yang terletak tidak jauh dari tempat tinggalku. Melihat sahaja anak-anak kucing comel yang berada di hadapan mataku, hatiku mula terpaut. " Kalau  cikgu nak, cikgu ambiklah anak kucing yang berwarna perang tu," kata pak cik Hussin sambil jarinya menunding ke arah salah seekor anak kucingnya. Kuamati anak kucing yang ditunjukkan oleh pak cik Hussin. Subhanallah, sungguh indah ciptaan Allah.

     " Mak anak kucing ni baka Siam. Bapak dia baka Burma, cikgu. Sebab itulah mata dia biru," terang pak cik Hussin. Setelah itu, aku membawa anak kucing itu pulang ke rumah. Isteriku menyambutnya dengan penuh gembira dan bersyukur. " Alhamdulillah. Cantiknya anak kucing ni. Kita nak beri dia nama apa,bang?" tanya isteriku. " Apa kata kita namakan anak kucing ni Biru sebab matanya berwarna biru," tambahnya lagi. Aku tersenyum. Sudah ada riak kegembiraan di mata isteriku.Air matanya hampir menitis...

KISAH BIRU BERMULA

       " Kenapa pak cik tengok cikgu monyok jer," kata pak cik Hussin. Aku masih berdiam diri sambil mengumpul kekuatan untuk memulakan bicara. " Aaah, kalau cerita pun tak siapa yang boleh tolong," kata hatiku yang sememangnya masih berasa ragu-ragu untuk menceritakan hal yang sebenar. 

       " Selalunya, cikgu ceria jer. Mesti ada apa-apa ni. Ker kena marah dengan GB. Hehehehe," pak cik Hussin cuba untuk meneka dalam kesamaran sambil bergurau denganku. Aku tetap membisu. Perlakuan aku membuatkan pak cik Husin berasa bersalah dan menjadi tidak menentu. Kasihan pula aku  melihat keadaan pak cik Hussin.

       Aku terus menceritakan hal yang sebenar. Pak cik Hussin hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya. " Laa, kenapa tak bagi tau tadi. Kebetulan, kucing pak cik baru jer beranak," kata pak cik Hussin. Hatiku mula berbunga. Aku berharap pak cik Hussin akan memberikan salah seekor daripada kucingnya kepadaku. " Kucing pak cik, cantik. Matanya warna biru," tambah pak cik Hussin. Aku terus memasang angan-angan.

TIADA LAGI GURAUANMU.

     Tanggal 5 Disember 2010 tidak mungkin akan luput dalam ingatanku. Biru, nama itu diambil sempena matamu yang berwarna kebiru-biruan. Sesungguhnya kehilangan Jebat masih lagi menjadi tanda tanya. Isteriku sudah berhari-hari menangis kerana kehilangan Jebat yang amat dikasihi. Bagi mengubati kesedihannya aku berusaha untuk mencari pengganti Jebat.
       Kisah kehilangan Jebat telah sampai ke pengetahuan rakan-rakan sekerjaku. Ramai yang meluahkan rasa simpati dan ada antara mereka yang menawarkan anak kucing mereka kepadaku. Namun, hatiku agak tawar untuk mencari pengganti Jebat. Sehinggalah pada suatu hari, aku bercakap dengan tukang kebun di sekolah tempat aku berkhidmat. Dari sinilah kisah Biru bermula...

BIRU, BUAH HATIKU

Kisah bersamamu akan kujadikan coretan di sini..........

KUCINGKU YANG BERNAMA JEBAT

           Kucingku yang pertama bernama Jebat. Sehebat namanya begitulah juga tuannya. Biarpun masih kecil, namun Jebat begitu bijak. Inilah kali pertama aku benar-benar mempunyai kucing. Kalau sebelum ini, aku tidak tahu bagaimana perasaan seseorang yang mempunyai kucing namun begitu dengan kehadiran Jebat, aku benar-benar merasai bagaimana kasih dan sayangnya tuan punya seekor kucing. 
     
            Kisah ini bermula lima tahun yang lalu. Ketika itu, rumahku didatangi seekor kucing yang amat comot dan busuk. Entah mengapa, secara tiba-tiba hatiku  terdetik untuk memeliharanya dan menamakan Jebat kepada kucing itu. Semakin hari, Jebat menjadi semakin sihat dan boleh dikatakan tergolong dalam kalangan kucing yang ' hansome'.. Hehehehe dah tentu ramai awek dalam kalangannya yang tergoda. Hahaha makin macho kau Jebat..
              
              Masihku ingat, kau akan menggesel-geselkan badan dan memanggilku dengan manja sekali. Ketika aku pulang daripada bekerja kau akan menungguku dengan setia.Sehingga ke hari ini aku masih terbayangkan kenakalan dan kemanjaanmu. Antara peristiwa yang aku tidak boleh lupakan ialah bagaimana kau masuk ke dalam kereta salah seorang rakanku yang datang bertandang ke rumah. Puas jugalah aku mencari sehinggalah aku menerima panggilan telefon daripada rakanku yang menyatakan bahawa kau berada di rumahnya. Siap bergurau pulak tu hendakkan kau,Jebat.. Mana boleh tahan..

              Setelah aku mengambil Jebat dari rumah rakanku itu, aku makin berhati-hati. Jebat bukan sahaja menjadi perhatian awek-awek dalam kelompoknya tetapi juga menjadi perhatian jiran-jiranku. Kebanyakan daripada mereka sangat sayang akan Jebat. Maklumlah, sudahlah jinak, cerdik pulak tu.
         
                 Sehinggalah, pada suatu hari aku pergi ke Kuala Lumpur untuk melawat saudaraku di sana. Ketika dalam perjalanan pulang, aku menerima panggilan telefon daripada jiranku yang mengatakan Jebat telah hilang. Aku dah tidak boleh meneruskan kisah ini. Air mataku mula bergenang...JEBATTTTTTT.