20/03/2013

MALAM YANG PANJANG


           Biru kuangkat ke atas katil..Keadaannya betul-betul amat lemah. Badannya seolah-olah sudah lumpuh dan tidak berfungsi..Aku dapat rasakan suhu badannya amat panas..Biru demam agaknya.. Aku memberinya air minuman akan tetapi ia hanya melihat sahaja air tersebut seolah-olah tidak bernafsu untuk meneguk air minuman tersebut. Makanan yang aku sediakan juga tidak dijamah olehnya.. Hatiku kini bertambah risau akan keadaan Biru.. Oleh sebab badannya yang terlalu panas maka aku pun terus mencari tuala dan direndamkan tuala itu ke dalam air batu. Aku berharap dengan usaha yang dilakukan itu sedikit sebanyak boleh melegakan keadaan panas badannya. Badannya telah aku selimutkan dengan tuala yang basah itu..Setelah itu, aku tinggalkan Biru di dalam bilik keseorangan untuk berehat.

           Setelah aku membiarkannya bersendirian di dalam bilik buat beberapa ketika aku pun melihat keadaannya kembali. Keadaan Biru masih lagi tidak berubah.. Ia masih lagi lemah..Mulutnya mula berbau kerana sudah lama tidak menjamah walaupun sedikit makanan. Aku menyuapkan air ke dalam mulutnya agar hilang dahaganya.. Begitu siksa Biru meneguk minuman itu,,Air minuman banyak yang terkeluar dari mulutnya berbanding yang dapat ditelannya..Terketar-ketar Biru memanggungkan kepala apabila aku menyuapkan air kepadanya. Walaupun Biru hanya meminum sedikit air namun hatiku berasa agak lega..Tambahan pula ia mula mengerak-gerakkan badanya..Apa-apa pun aku tidak pasti sama ada ia menggerakkan badannya kerana beransur baik ataupun berasa rimas kerana aku menyelimutkannya dengan kain tuala.

                Malam menjelang tiba.. Aku melihat Biru bergerak ke kiri dan ke kanan seolah-olah tidak selesa dengan keadaannya. Sesekali aku terdengar rengekan suaranya yang seolah-olah mengaduh kesakitan. Dalam keadaan mengantuk sekalipun, aku akan tetap bangun dan melihat keadaannya apabila aku mendengar suara Biru.. Apabila aku rasakan tuala yang membalut badannya sudah kering, aku akan terus ke dapur untuk membasahkannya. Harapanku ialah Biru akan sembuh dan bermain dengan cerianya seperti biasa.. Setelah membalutkan badannya dengan tuala yang basah, aku mula merebahkan kepalaku untuk tidur semula.. Ketika itulah aku mendengar Biru mula terbatuk tidak berhenti-henti.. Serentak dengan itu ia telah muntah dengan banyaknya..Dalam muntahnya aku hanya dapat melihat air yang jernih dan tidak mengandungi sisa makanan..Mungkin kerana ia tidak menjamah makanan sejak siang tadi.. Setelah itu batuk dan muntahnya silih berganti..Perasaan risau mula bersarang dalam hatiku.. Bersabarlah Biru, semoga siang akan membawa sinar bahagia...Tabahkan hatimu sayang..Aku sendiri seolah-olah tidak sabar menantikan hari esok... Semoga dirimu dapat menempuh malam yang panjang ini.....


15/03/2013

APA YANG BERLAKU PADAMU?

           
          Selang beberapa hari, Biru pula kelihatan tidak sihat.. Ia tidak selincah seperti biasa.. Masa yang terluang hanya dihabiskan dengan termenung di beranda rumah.. Pada mulanya aku tidak sedari perubahan yang terjadi ke atas Biru.. Pada asalnya aku rasakan Biru lebih suka berada di luar  rumah kerana tidak selesa dengan keadaan dan suasana yang bising atau pun panas.. Lama-kelamaan aku dapati Biru bukan sahaja termenung malahan seperti tidak bermaya..Oleh sebab aku juga agak sibuk untuk mengemas rumah pada waktu itu, kadang kala aku seperti melupakan apa yang telah berlaku ke atasnya.. Maafkan ayah, Biru.. Maafkan ayah seandainya telah melukakan hatimu....

          Setelah puas berada di beranda rumah, Biru akan masuk ke dalam bilik..Kebiasaannya, Biru akan tidur dan berehat di atas katil tetapi kali ini keadaannya berbeza sama sekali.. Biru akan tidur di bawah katil seolah-olah inginkan suhu yang agak dingin.. Mungkin suhu badannya yang agak panas membuatkannya lebih selesa untuk berehat di bawah sana.. Apabila aku masuk ke dalam bilik dan memanggilnyya keluar, ia seolah-olah tidak mahu menjawab dan menyahut panggilanku..Situasi ini membuatkan aku berasa serba tidak kena..Pelbagai persoalan mula bermain di fikiranku.. Adakah Biru merajuk? Adakah aku telah melukakan hatinya? atau......Biru dalam keadaan yang amat sakit hingga tidak mampu untuk menyahut panggilanku....

       Setelah usaha untuk memanggilnya keluar tidak berjaya, aku telah merangkak di bawah katil dan mengambilnya keluar...Ya Allah...Aku melihat keadaannya amat menyedihkan.. Badannya dipenuhi dengan kekotoran yang berada di bawah katil itu.. Nafasnya pula cukup kencang..Sambil tercungap-cungap ia mengangkat muka dan memanggil namaku dengan suara yang hampir-hampir tidak dapat aku dengari..Ketika itu secara tidak sedar air mataku mula berlinang..Maafkan ayah,Biru..Ayah terlalu sibuk sehingga tidak sedar akan keadaan dirimu..Aku tahu, dalam keadaan begitu Biru selalunya memerlukan perhatian yang lebih daripadaku..Ia akan merengek seperti budak yang masih kecil..Itulah Biru..Memang kami telah memanjakannya sehingga ia tidak sedar bahawa ia hanyalah seekor kucing..Dalam fikirannya, akulah ayahnya yang telah menjaga dan membesarkannya sehingga dewasa.. Maafkan ayah,Biru...Ayah tidak lupa siapakah dirimu......

14/03/2013

FAKTOR USIA


          Selang beberapa hari selesailah segala urusan yang berkaitan dengan perkahwinan adikku itu.. Masing-masing mula terasa kepenatan yang sebelum ini tidak diendahkan semata-mata ingin menjayakan upacara yang telah dirancang.. Pantang ada masa terluang, ada sahaja yang melelapkan mata.. Tidak kira di dapur, di ruang tamu mahu pun di ruang beranda..Maklumlah saudara maraku bukannya muda remaja lagi.. Itupun aku amat bersyukur kerana mereka sudi datang untuk menolong ibuku yang hanya sebatang kara terdampar di bumi Pahang yang serba indah dan permai ini. Bermacam-macam gelagat dapat aku perhatikan.. Adatlah, yang muda selalunya akan menjadi mangsa.. Mereka akan disuruh memijak dan memicit mak-mak saudara mereka..Nasiblah....

            Mungkin kerana faktor usia, ada dalam kalangan mereka mengalami demam yang agak teruk.. Aku mula risau kerana kebiasaannya kucing mudah terkena jangkitan kuman yang dibawa oleh manusia.. Tambahan pula, Biru suka bermain dan berlari di celah-celah mereka..Mungkin Biru ingin menunjukkan bahawa ia lebih gagah dan muda daripada bapa dan emak saudaraku..Lebih-lebih lagi, sebelum ini Biru lebih banyak mengurungkan diri kerana rimas dengan bilangan orang yang ramai dan menyebabkannya tidak selesa. Inilah waktunya untuk membalas dendam...Biru berlari dan bermain sepuas-puasnya di celah-celah saudaraku yang terdampar kepenatan.. Masing-masing seakan-akan membiarkan perlakuan Biru itu..Mungkin kerana keletihan ataupun tidak mahu aku terasa hati, aku pun tidak tahu.....

          Setelah dua hari berlalu, keadaan demam saudaraku itu menjadi semakin teruk sehinggakan terpaksa berselimut dan memakai baju yang agak tebal untuk menghilangkan kesejukan yang amat sangat. Situasi ini sudah tentulah membimbangkan aku..Aku bukannya bimbang akan saudaraku itu tetapi kerisauanku lebih tertumpu kepada kesayanganku iaitu Biru..Saudaraku itu sudah tentulah akan mencari jalan untukk menyembuhkan demamnya.. Apa yang akan terjadi sekirannya demam itu terjadi kepada Biru.. Aku mungkin terpaksa bergegas untuk pulang ke Kuantan sekiranya perkara itu terjadi...Namun di dalam hati aku berdoa semoga Biru dilindungi oleh-Nya... Selebihnya sebagai hamba yang lemah, kita perlulah bersedia dan bertawakal seandainya sesuatu terjadi kerana dunia ini hanyalah sebuah pentas pinjaman...............................

APA YANG BERMAIN DI FIKIRANMU?


                    Aku masih lagi tidak sihat ketika menulis coretan ini... Namun kugagahi juga demimu Biru. Suasana yang agak bising dan panas serta riuh rendah menyebabkan Biru lebih suka mengurungkan dirinya di dalam bilik. Kadangkala apabila berasa bosan, ia akan mengambil angin di luar rumah. Biru lebih suka termenung. Pandangannya seolah-olah merenung masa hadapan yang akan ditempuhinya. Mungkin setiap binatang diberi kelebihan dan keistimewaan oleh Allah untuk mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sesekali wajahnya kelihatan ceria, seolah-olah mengenangkan sesuatu yang membahagiakan dirinya.. Kadangkala wajahnya bertukar agak serius seolah-olah sedang teringat akan sesuatu kejadian yang membuatkannya agak marah dan kecewa.. Namun begitu, apa yang merisaukan aku ialah apabila melihat riak wajahnya yang agak muram dan sugul seolah-olah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.. Riak wajah mereka mengundang seribu makna..Tersimpan seribu rahsia. Hanya diketahui oleh-Nya.


                  Kesibukan kami dalam menguruskan majlis perkahwinan adikku membuatkan Biru berasa dirinya disisihkan. Dia tidak lagi mencari kami apabila ingin tidur pada waktu malam. Walaupun Biru tidur di dalam bilik, tetapi ia lebih suka tidur di penjuru bilik tersebut dan bukannya di atas tilam seperti kebiasaannya. Sikap Biru benar-benar berubah. Maafkan ayah seandainya hatimu terluka. Maafkan ayah, sayang. Kadangkala aku sengaja membiarkan Biru tidur dengan lena terlebih dahulu sebelum mengangkatnya naik ke atas katil. Aku tahu, sekiranya Biru sedar ia akan melarikan diri seolah-olah ingin menunjukkan rasa ketidakpuasan hatinya kepadaku. Bersabarlah  Biru.. Selesai sahaja majlis perkahwinan ini, kita akan kembali ke rumah kita semula. 

              Majlis perkahwinan berlangsung dengan meriahnya. Dalam kemeriahan tersebut ada dalam kalangan saudara maraku yang demam kerana terlalu penat dengan kerja-kerja yang dilakukan. Sungguhpun begitu, kerja-kerja yang terbengkalai diteruskan oleh orang lain. Suasana yang harmoni ini telah merapatkan lagi hubungan persaudaraan yang selama ini terjalin. Namun apa yang aku tidak pasti ialah adakah kucing mudah terkena jangkitan demam yang dibawa oleh manusia. Aku harap Biru mempunyai daya ketahanan diri yang kuat. Sedangkan ia boleh menahan dirinya setelah berdepan dengan situasi yang mengancam nyawanya, apalah sangat dengan demam biasa yang dihadapi oleh saudara maraku itu..Betul tak Biru?...

09/03/2013

BIRU MENYENDIRI



         
     Sekembali dari Johor, kehidupan kami kembali seperti biasa. Hari-hari yang dilalui bersama Biru dipenuhi dengan gerak ketawa dan kegembiraan. Tiada istilah kebosanan dalam hidupku sepanjang bersama dengan Biru. Biru begitu pandai menjaga kelakuannya dan tidak keterlaluan jika aku katakan sesiapa yang datang ke rumahku pasti akan tertarik dengan gelagat dan perlakuan Biru. Siapa yang tidak kagum akan Biru.apabila tetamu datang ke rumah, ia begitu sopan dan menjaga tingkah lakunya. Biru juga akan duduk diam di sampingku seolah-olah mendengar dan memahami apa yang dibualkan oleh kami. Sesekali, kepalanya akan mendongak dan memandang rakanku apabila rakanku itu bercakap atau menyatakan sesuatu. Pandangan Biru akan beralih pula kepadaku apabila aku pula berbicara. Biru amat bijak. Hanya ia tidak boleh berkata-kata. Namun begitu, setiap patah perkataan yang aku katakan kepadanya seolah-olah difahami dengan baik. Lidah mana yang tidak pernah tergigit. Seandainya ada perselisihan kecil antara aku dengan isteriku, Biru akan berdiam diri dan meletakkan tangannya di bawah dagu. Biru seolah-olah turut bersedih dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya, perselisihan kami tidak akan berpanjangan kerana kasihan dengan keadaan Biru.. Biru selalu menjadi penyelamat keadaan. Kami juga seakan-akan malu kepada Biru seandainya kesalahfahaman antara kami berlanjutan. Begitu hebat daya tarikan Biru.


              Tidak lama selepas itu, adikku telah melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan ini akan diadakan di rumah ibuku di Jengka 11. Sanak saudara dari Perlis telah pun berkumpul di rumah ibuku itu. Seperti biasa, aku akan membawa Biru ke mana sahaja aku pergi..Perjalanan dari Kuantan ke rumah ibuku hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit. Setibanya aku di rumah ibuku, kelihatan ramai orang dan sanak saudaraku telah berhimpun dan melakukan persediaan menjelang hari perkahwinan adikku itu. Suasana menjadi riuh - rendah dengan suara mereka. Disebabkan suasana yang terlalu bising, aku lihat Biru seolah-olah tidak begitu selesa.Tambahan pula, kanak-kanak yang datang turut bermain dan ada dalam kalangan mereka yang bergurau terlalu kasar dengannya. Kasihan Biru.. Ada kalanya aku terfikir mungkin Biru lebih cerdik dan matang berbanding dengan kanak-kanak itu. Seandainya Biru boleh bercakap, sudah tentu ia akan menasihati kanak-kanak itu agar menjaga kelakuan. Tambahan pula mereka berada di rumah orang. Biru kini lebih suka menyepikan diri.. Ia akan masih ke bilik dan berehat di atas katil.. Aku juga tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Biru...........


07/03/2013

KENANGAN MANIS DI JOHOR


              
               Dalam debaran, aku pun melangkah untuk masuk ke dalam rumah datuk isteriku itu. Kami disambut dengan mesra biarpun mereka baru sahaja cuba untuk melelapkan mata selepas selesai bersahur. " Eh, bawa kucing! Apa namanya? " tegur nenek isteriku. Melihat sambutan dan penerimaan mereka hatiku menjadi senang. " Namanya Biru. Ia selalu mengikut sahaja ke mana sahaja saya pergi," terangku dengan mesra. Setelah itu aku bersalaman dengan mereka. Biruku biarkan bebas di dalam rumah  tersebut. Bukan main gembira lagi Biru apabila ia bebas untuk bergerak ke sana ke mari. Tambahan pula rumah itu agak luas berbanding dengan rumah kami yang berada di taman perumahan. Setelah meletakkan barang yang dibawa di dalam bilik, aku pun menyiapkan tempat najis Biru di dalam bilik yang disediakan khas untuknya. Aku agak terkejut dengan layanan baik yang diberikan kepada Biru. 


                 Menjelang pagi iaitu selepas Subuh, hampir kesemua bapa saudara serta ibu saudara isteriku sudah bangun. Mereka turut mengalu-alukan kedatangan kami. Mereka juga tidak berasa janggal dengan kehadiran Biru. Anak-anak mereka yang baru bangun daripada tidur juga turut bermain dan bermesra dengan Biru. Aku agak senang dengan keadaan itu. Oleh sebab hari raya akan menjelma pada keesokan hari maka mereka bangun awal untuk membuat persediaan bagi menyambut hari lebaran tersebut. Biru yang kebosanan hanya terus keluar dari rumah dan bermain di halaman. Aku hanya membiarkannya bermain kerana masing-masing agak sibuk di dalam rumah. Sesekali aku menjenguk keluar rumah kerana aku khuatiri Biru akan bermain jauh dan tidak tahu jalan untuk pulang. Maklumlah, ia berada di tempat yang begitu asing baginya. Suasana raya disambut dengan meriah sekali. Ramai kanak-kanak dan sanak saudara yang datang untuk menziarahi sesama muslim. Tidak ketinggalan juga, ada sahabat adik iparku yang datang walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Semangat inilah yang menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang unik.

             Setelah beraya di Johor selama empat hari, maka kami pun berangkat pulang ke Kuantan. Sepanjang perjalanan kami isikan dengan cerita kemeriahan hari raya. Aku lihat wajah ibu mertuaku begitu ceria. Syukurlah semua yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna dengan izin Allah. Setelah hampir separuh perjalanan, tiba-tiba susana bertukar menjadi sepi. Rupa-rupanya isteri dan ibu mertuaku sudah melelapkan mata. Dalam suasana yang sunyi inilah aku mula tersenyum sendiri. Aku berasa seronok kerana Biru telah diperlakukan dengan baik sekali. In sha Allah, sekiranya masa mengizinkan dan umur kami panjang, aku akan membawa Biru lagi untuk beraya di Johor. Semoga impian dan harapan aku akan tercapai. Sambil memandu kereta, aku bergurau dengan Biru untuk menghilangkan rasa bosan dan mengantuk. Sesekali Biru mengigit jariku dengan mesra. Semakin aku cuba melarikan jariku, Biru semakin kuat memegang tanganku dan menarik jariku ke mulutnya. Aku ketawa melihat gelagatnya itu. Biru, sesungguhnya engkaulah penghibur hatiku. Kini Johor semakin jauh kami tinggalkan dan Kuantan seolah-olah memanggil dan mengalukan kepulangan kami. Sungguhpun begitu, kenangan beraya bersama Biru tidak mungkin dapat aku padamkan dalam lipatan ingatanku. Aku berdoa semoga kami dapat beraya di Johor lagi bersama-sama. Namun takdir Tuhan tiada siapa yang dapat menduga.


06/03/2013

BIRU KE JOHOR


          Setelah seminggu kejadian itu berlaku kedaan kesihatan Biru kini semakin baik. Biru mula ceria dan keluar dari rumah pada setiap petang untuk bermain. Aku turut gembira dengan keadaan itu. Tidak berapa lama kemudian, kami menyambut bulan puasa. Aku begitu teruja kerana menanti-nantikan bulan yang penuh keberkatan ini. Biru seperti biasa. Takkan Biru pun turut berpuasa. Hehehehe. Sebulan terasa berlalu dengan begitu cepat. Sedar tidak sedar hari berlalu dengan begitu pantas. Bulan Syawal seolah-olah menggambil umatnya yang berjaya menunaikan ibadah puasa dengan sabar dan bertakwa. Pada tahun itu, kami bercadang untuk beraya di Johor iaitu di kampung isteriku. Sudah semestinya, kami akan membawa Biru bersama untuk beraya di Felda Taib Andak di Kulai Johor. Namun begitu, aku juga berasa agak ragu dengan penerimaan keluarga isteriku di Johor terhadap Biru.

          Dua hari sebelum ketibaan Bulan Syawal kami telah berangkat ke Johor ditemani oleh ibu mertuaku. Kami bertolak lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. Aku lebih suka memandu pada waktu malam kerana suasana yang sepi dan cuacanya agak dingin. Sepanjang perjalanan, Biru lebih banyak menyepi diri. Mungkin Biru turut tertanya-tanya ke manakah destinasi kami pada kali ini. Sesekali tangannya mengurut-urut pehaku. Barangkali Biru turut bimbang aku berasa mengantuk. Manalah tahu. Cuaca yang dingin dan suhu yang sejuk di dalam kereta membuatkan Biru mudah tertidur. Sesekali aku terdengar dengkurannya yang agak kuat. Aku tersenyum dan kulihat isteri dan ibu mertuaku juga turut tersenyum dan mereka ketawa dengan perlahan. Aku turut menyelimutkan Biru yang sedang kesejukan. Alhamdulillah perjalanan kami ke Johor tidak mengalami sebarang masalah.

         Kami tiba di Johor lebih kurang pukul 6.00 pagi. Kelihatan lampu rumah datuk isteriku masih lagi terpasang walaupun penghuninya sudah masuk tidur semula setelah selesai bersahur. Biru juga sudah sedar daripada tidurnya yang lena. Sudah menjadi kebiasaan, kucing akan melakukan senaman setelah bangun daripada tidur. Mungkin untuk membetulkan tulang atau pun melonggarkan urat yang tegang setelah tidur dengan nyenyaknya. Setelah sampai, ibu mertuaku merupakan orang yang pertama sekali turun dari kereta. Maklumlah, mungkin ingin segera melepaskan rasa rindu kepada kedua-dua ibu bapanya. Isteriku pula mula mengeluarkan beg dan barangan yang dibawa. Aku masih lagi tenang. Biru yang masih duduk di ribaanku juga kelihatan bersahaja. Setelah itu, Biru memandangku dan mengiau seolah-olah bertanya ke mana kita akan pergi. Aku tersenyum dan mencium Biru seraya berkata, " Sayang, kita telah sampai di Johor. Biru jangan nakal-nakal tau." Setelah itu kepalanya kuusap dengan penuh kemesraan. Kini timbul pula persoalan dalam diriku. Hatiku tertanya-tanya bagaimanakah penerimaan mereka terhadap Biru. Adakah Biru akan mendapat layanan yang sama seperti di Perlis. Hanya masa dan waktu yang akan menentukan.